Sunday, December 12, 2010

Selesai.....

Semalam selesai sudah Hari Keluarga JPSM 2010. Alhamdulillah selesai juga tugas-tugas aku membantu menyiapkan dan menghias khemah, mengangkat makanan dari tempat memasak, mengambil gambar dan seterusnya mengemas khemah ketika event selesai. Penat tapi puas kerana dapat menyumbang untuk Unit baru yang aku sertai sejak setahun yang lepas.

Erm....sedang aku mengemaskinikan blog yang sudah lama tidak ku kunjungi, terserempak dengan gambar-gambar ex gf's di dalam akaun Fotopages. Kenangan lama mengimbau di minda. Senyuman terukir dibibirku mengingati kisah-kisah manis dan pahit. Ingin ku kongsi imej gadis-gadis yang pernah ku tambat hati mereka, namun mungkin agak sensitif kerana ada yang sudah berkahwin (dengan pilihan mereka semestinya) dan ada yang kembali bujang (menjanda). Mungkin itu qada dan qadar yang ditentukan oleh Allah swt. Kita sebagai hambaNya hanya redha.

Wednesday, December 8, 2010

Mat Rempit?

Mat Rempit?

Apakah itu Mat Rempit? Jika di kaji, istilah ‘Mat Rempit’ tiada dalam kamus dan merupakan bahasa pasar yang digelar kepada ‘mat motor’ yang gemar berkelakuan melawan norma etika seorang ‘mat motor’ yang normal. Memang senang memberi gelaran. Memang senang untuk terus menghukum. Dan memang senang untuk menuding jari. Tetapi satu pertanyaan daripada saya, apakah sumbangan atau tindakan daripada anda dalam menyelesaikan gejala ini selain daripada mengarahkan pihak berkuasa melakukan itu dan ini?

Untuk makluman, saya juga merupakan ‘mat motor’ dan pernah terlibat dengan aktiviti ekstrem pernah terlibat dengan aktiviti ekstrem dan dilarang undang-undang APJ 1987 Sek 49(1) di tahun 90-an dahulu. Jika apa yang dilakukan oleh saya seperti berlumba-lumba, melakukan aksi merbahaya, layan ‘corner’ dan pelbagai aktiviti di luar norma penunggang motorsikal yang normal itu di katakan ‘mat rempit’, maka wajar saya juga di gelar ‘mat rempit’. Dan saya tidak bangga akan gelaran tersebut. Namun pengalaman dari aktiviti lampau saya itu membuatkan saya lebih kenal dunia ‘mat rempit’ berbanding anda.

Pernahkah anda ‘turun padang’ dan melihat sendiri siapa yang anda gelarkan ‘mat rempit’ atau ‘mat bodoh’ itu. Jika dibaca,di lihat dan didengar di media massa, penampilan ‘mat rempit’ yang ditampilkan adalah remaja yang jahat, memberontak, seks bebas, mempertaruhkan perempuan sebagai hadiah perlumbaan haram, curi motor, bergaduh, alkoholik, salah guna dadah dan pelbagai lagi sifat-sifat negatif dilemparkan. Namun adakah semuanya benar?

Mari kita lihat pula siapa sebenar di sebalik nama mat rempit ini. Simptom mat rempit sebenarnya telah sedia ada sejak dahulu lagi. Dari tahun 70-an, 80-an, 90-an hingga menjangkau ke era sekarang iaitu tahun 2000 ke atas. Perbezaannya adalah cara merempit mengikut perkembangan zaman. Malah kepesatan ekonomi dan kemodenan juga menyumbang kepada gejala rempit. Dengan sebuah motorsikal boleh dibeli dengan membayar deposit semurah RM200 dan penurunan taraf penggunaan motorsikal sebagai alat pengankutan pilihan kedua kerana lambakan kereta yang murah dipasaran juga menjadi faktor penyumbang. Jika dahulu anak-anak muda terpaksa berjalan kaki dan menaiki bas untuk ke mana-mana, namun sekarang mereka bebas dan mudah ke mana-mana samada menunggang motorsikal sendiri ataupun kepunyaan ayah dan abang. Jika dahulu aktiviti mereka hanya di lingkungan satu kilometer daripada rumah, kini aktiviti mereka boleh menjangkau melebihi 20 kilometer. Atas alasan kebosanan, bersiar-siar, pengaruh rakan sebaya dan bermacam alasan, membuatkan pada malam minggu sahaja dianggarkan lebih 500 hingga 1000 mat rempit memenuhi bandaraya Kuala Lumpur. Lebih-lebih lagi gejala rempit sekarang sudah menjadi cara hidup remaja masa kini. Lihat sahaja di laman web Myspace.

Rata-rata remaja bersekolah ataupun awal 20an menjadikan rempit sebagai cara hidup dan ikutan untuk menjadi lebih ‘cool’ tanpa mengetahui implikasi buruk disebaliknya. Kewujudan kumpulan-kumpulan mat rempit baru tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan menyaingi kumpulan mat rempit yang sedia ada. Majoriti semuanya remaja di awal umur 13 tahun hingga menjangkau penghujung 20-an. Semuanya anak muda yang bakal menggantikan generasi sekarang. Jika semuanya ditangkap, disabitkan kesalahan dan dihukum, mereka bakal menjadi banduan dan adakah kita mahu bekas-bekas banduan ini menggantikan tempat kita? Apa pilihan yang kita ada jika bilangan mereka sekarang melebihi jangkaan.

Dalam kita sibuk menuding jari dan menuntut hukuman yang lebih tegas selepas tindakan penguatkuasaan, pernahkah kita terfikir banyak manakah pendidikan yang kita telah beri pada anak-anak kita tentang gejala buruk rempit ini? Matapelajaran apakah yang 80% isi kandungan dasarnya memberi penerapan kepada para pelajar agar menolak gejala rempit. Juga matapelajaran yang mendidik para pelajar tentang tatacara di jalan raya, selain Kempen Keselamatan Jalan Raya yang sering diadakan di Taman Tasik Titiwangsa yang kurang dapat melibatkan para pelajar secara menyeluruh di seluruh negara. Jawapannya tidak ada.

Juga pameran atau kempen yang 100% memberi penekanan tentang gejala rempit ataupun lumba haram. Untuk makluman, saya sebagai Presiden kelab motorsikal, RD CLUB, telah 10 tahun berkempen membanteras lumba haram & rempit, namun tiada satupun risalah dari pada Majlis Keselamatan Jalan Raya berkenaan gejala tersebut menyebabkan saya terpaksa menggunakan risalah Agensi Dadah Kebangsaan dengan kaitan ramai mat rempit menggunakan dadah merbahaya ketika menunggang. Walaupun RD CLUB bergerak tanpa bantuan daripada pihak kerajaan, kami tetap bergerak walau dengan dana kewangan yang amat sedikit. Selain daripada RD CLUB?

Sesekali apabila melihat mat rempit ini melakukan aksi mengangkat tayar hadapan ataupun belakang, berdiri di atas motorsikal ketika motorsikal sedang bergerak, memusingkan roda belakang walaupun motorsikal dalam keadaan statik dan lain-lain lagi, terasa amat merbahaya kerana aksi tersebut dilakukan di jalan awam, yang mana boleh membahayakan orang awam yang lain. Tetapi tahukah kita bahawa di luar negara, aksi tersebut yang memerlukan skil yang tinggi juga menjadi kegilaan ‘mat motor’ di sana. Namun aksi tersebut yang dipanggil aksi ‘stunt’ dialihkan daripada jalan raya awam ke lokasi khas samada kawasan parking atau kawasan lapang jauh dari orang awam untuk dijadikan tontonan penonton. Aktiviti tersebut yang dipantau dan dikawal menjadi satu aktiviti latihan di mana ia juga dapat di komersilkan di pertunjukan-pertunjukan motorsikal samada bertaraf tempatan mahupun dunia. Jadi, pertanyaannya, jika di luar negara, kelakuan atau aktiviti yang kita labelkan haram itu boleh menjadi satu aktiviti yang sihat dan seterusnya diiktiraf dunia, kenapa kita tidak boleh menyediakan lokasi dan aktiviti seumpama itu.

Kerana samada disediakan atau tidak lokasi tersebut, mat rempit itu akan tetap beraksi, dan pilihan yang mereka ada hanyalah jalan raya awam kerana terdapat penonton. Jika disediakan satu prasarana untuk mereka, pilihan yang mereka ada ialah beraksi dengan aman di lokasi yang ditetapkan ataupun beraksi di jalan raya awam dan menghadapi risiko diburu dan dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa secara total. Sudah tentu lama-kelamaan, lokasi yang ditetapkan dan dikawal menjadi pilihan dan ini boleh mengelakkan kebanjiran mereka di jalan-jalan raya awam.

Setelah separuh daripada mat rempit tersebut memilih untuk berada di lokasi tersebut yang terkawal, akan ada ‘mat-mat rempit hardcore’ yang degil dan terus menjadikan jalan raya awam sebagai tempat mereka merempit. Jadi disitulah tindakan penguatkuasaan yang tegas diambil oleh pihak berkuasa. Secara tidak langsung, prasarana seperti yang dicadangkan itu tadi dapat membahagikan antara ‘mat rempit hardcore’ dan ‘mat rempit tidak hardcore’. Dan saya amat bersetuju jika ‘mat rempit hardcore’ itu di gelar ‘mat bodoh’ kerana setelah diberi penerapan pendidikan di sekolah, pameran & ceramah dan aktiviti serta prasarana di sediakan, mereka masih degil hingga dikenakan tindakan penguatkuasaan, memanglah mereka itu bodoh.

Namun begitu, mereka juga anak-anak muda yang hanya melakukan kesalahan trafik. Jika disabitkan kesalahan dan selesai menjalani hukuman, kesedaran dan bimbingan melalui motivasi dan kaunseling perlu diberi. Jika tidak, mereka akan terus terawang-awang dalam mencari hala tuju dan akhirnya terpengaruh ajakan rakan sebaya hingga terjebak semula ke gejala rempit, malah lebih ekstrem dan ganas, lebih-lebih lagi yang telah menjalani hukuman penjara.

Kesimpulannya, jangan kita hanya tahu menghukum dan menuding jari tanpa memberi peluang kepada jalan penyelesaian. Aspek-aspek yang disebutkan tadi amat penting:

1) Pendidikan
2) Kempen & Ceramah
3) Aktiviti & Program
4) Tindakan Penguatkuasaan tegas - pada yang degil
5) Hukuman
6) Motivasi & Kaunseling


Rangkuman untuk aspek-aspek tersebut telah diguna pakai dan berjaya membentuk seorang mat rempit yang telah menjalani hukuman penjara berjaya menjadi seorang guru sekolah yang amat berdedikasi. Jadi bagi saya, apa yang saya bentangkan itu tidak mustahil boleh menyelamatkan banyak jiwa anak-anak muda kita. Mengubat lebih baik daripada membunuh.
Azhanyzam Zakaria

Friday, May 22, 2009

Operasi Bersepadu

Jam 2 am aku dah terbangun bila hp aku memekik2 suruh bangun. Nasib baik yang memekik tu Misha Omar nyanyi lagu yg aku pun tak tau lagu apa. Lepas mandi dan solat sunat, aku terus gerak ke ibupejabat JKP di Pekeliling. Sampai2 je ex pegawai aku dah ada. Staff lain pun ada tapi tak ramai. Malam tu kira ops besar jugak la sebab polis, Rela, Imegresen, JPN dan reporter pun ada. Lepas taklimat, semua bergerak ke Pasar Borong Kuala Lumpur. Ramai jugak la warga asing yang kena tangkap. Sayur dan ikan yang disita pun banyak. Operasi habis jam 7am dan terus bergerak semula ke JKP. Aku kena stay lama sikit sebab nak kira warga asing yang ditangkap. Lepas tu terus cabut balik la. Mata dah mengantuk giler dah.

Hari Terbuka Batalion 7 Rejimen Renjer Diraja yang ke 39

Pada 16 Mei 2009 Sabtu lepas sempat jugak bawak budak2 RD CLUB naik Mentakab sempena Hari Terbuka Batalion 7 Rejimen Renjer Diraja yang ke 39. Aku bawak kereta kebal Iswara menakala yang lain ride naik motor. Bertolak dari KL dalam jam 11 pagi. Sampai di mentakab dalam jam 12 tengahari lepas berhenti2.
Sampai di kem minum dulu. Dalam jam 2 petang baru semua bergerak ke kereta perisai Adnan bila tak tahan dengar enjinnya mengaum memanggil2. Sempat jugak la 2 round naik Adnan tu. Memang pengalaman yang tak dapat dilupakan. Semua gembira.
Motif ride ini adalah sebagai pendedahan ahli-ahli RD CLUB kepada bidang ketenteraan dan semoga penampilan di media dapat menarik minat remaja menyertai kerjaya ketenteraan. Insyaallah lebih banyak aktiviti seumpama ini akan di adakan.




Thursday, May 21, 2009

Karnival Motorsikal Antarabangsa Vespa/Lambretta dan Motor Klasik 2009

Pagi ni seperti biasa masuk ofis setelah berhempas pulas di Kuala Kangsar sempena Karnival Motorsikal Antarabangsa Vespa/Lambretta dan Motor Klasik 2009 di bawah naungan RD CLUB Malaysia. Walaupun penat disana, namun kepuasan jelas terpancar. Tak sangka setelah teruk di ‘belasah’ dan di ‘boo’ pada tahun lepas oleh individu yang suka mem ‘boo’,
kelebihan berpihak pada kami.

Alhamdulillah.







The Shields

Minggu lepas dalam kesibukan sempat juga aku relax lepak tengok siri televisyen kegemaran aku di channel AXN iaitu siri The Shields. Tak tau kenapa siri tv tu jadi kegemaran tetapi aku memang gemar cerita berbentuk aksi selain cerita romantik. 





Berbalik pada siri The Shields, mungkin paparan sesuatu tidak seperti yang kita sangkakan. Mungkin dalam watak siri tersebut ada yang jahat tetapi tersimpan nilai murni dalam dirinya. Seperti contoh watak Vic iaitu seorang ketua Unit Tindakan Khas atau Task Force team yang ganas dan kadang2 jahat tetapi beliau mempunyai sifat2 membantu walaupun yang dibantu itu hanyalah penagih dadah mahupun pelacur. Selain daripada itu, sifat kesetiaan, kepimpinan dan keberanian menjadikan dia watak idola aku.


Dalam episod minggu lepas, Vic digantung 10 hari dan bakal tidak menerima pencen kerana melakukan tugas beliau. Sama juga seperti yang dihadapi oleh aku. Ditarik kad kuasa dan buku saman kerana tugas yang aku lakukan. Kadang-kadang terasa tiada keadilan dalam dunia ini. Namun dari pengalaman, setiap yang benar itu akan berjaya, insyaallah.

Kepada yang menerima nasib macam aku ngan Vic tu, teruskan perjuangan. Ketua tak semestinya betul.

Filem Bohsia


Jumaat malam Sabtu sempat juga aku racun geng-geng RD CLUB aku tonton filem Bohsia. Ni semua idea Jai TZR la. Aku ni bukan peminat filem Melayu sangat. Kalau tengok pun cerita P.Ramlee jer. Namun, kerana teruja menonton filem Rempit (beli CD jer) yang jalan ceritanya real dan hampir dengan keadaan sebenar dunia mat motor sepertia aku, rasanya tak salah bagi aku try filem Bohsia ni pula.

Kul 11:30 pm kitaorang lapan kepala dah terpacak kat GSC Mid Valley Megamall. Awek jangan cakap le. Memang ramai sampai juling mata sorang2. Dalam panggung lak sebab kitaorang ramai so bikin havoc la. Si Gondol belum mula cerita dah gelak2. Memang bikin panas la. Kena lak kitaorang duk lane paling atas hadapan lover seat. Tak senang pakwe makwe kat situ nak beromen. Siap perang popcorn kitaorang. Hahahaha

Keseluruhan filem Bohsia ni ok la. Jalan cerita ok cuma rasanya lebih banyak isi dan adegan boleh disumbat. Rasa macam tak puas lak tengok. Agaknya nak bujet masa tayangan kot. Filem ni memang patut 18PL sebab banyak gak unsur2 lucah. Harap lepas ni Skop Production boleh buat filem seumpama untuk tayangan umum kerana filem macam ni boleh dijadikan sebagai filem pengajaran untuk remaja agar tidak terjebak dengan gejala Bohsia. Pengarah boleh masukkan unsur2 seperti mana yang pernah aku lihat kesudahan remaja-remaja Bohsia ni seperti jadi pelacur di Chow Kit, lumpuh tangan sebab kemalangan ikut bohjan merempit, dapat penyakit seperti siplis, HIV dan Aids dan bermacam-macam kisah kehidupan la. Adegan lumba haram pun ok cuma dari segi teknikal kena buat research sikit la. Prop kena check betul-betul. Namun keseluruhan filem ni ok dan boleh dipertingkatkan lagi. Aku bagi 3 bintang daripada 5 bintang.