Wednesday, December 8, 2010

Mat Rempit?

Mat Rempit?

Apakah itu Mat Rempit? Jika di kaji, istilah ‘Mat Rempit’ tiada dalam kamus dan merupakan bahasa pasar yang digelar kepada ‘mat motor’ yang gemar berkelakuan melawan norma etika seorang ‘mat motor’ yang normal. Memang senang memberi gelaran. Memang senang untuk terus menghukum. Dan memang senang untuk menuding jari. Tetapi satu pertanyaan daripada saya, apakah sumbangan atau tindakan daripada anda dalam menyelesaikan gejala ini selain daripada mengarahkan pihak berkuasa melakukan itu dan ini?

Untuk makluman, saya juga merupakan ‘mat motor’ dan pernah terlibat dengan aktiviti ekstrem pernah terlibat dengan aktiviti ekstrem dan dilarang undang-undang APJ 1987 Sek 49(1) di tahun 90-an dahulu. Jika apa yang dilakukan oleh saya seperti berlumba-lumba, melakukan aksi merbahaya, layan ‘corner’ dan pelbagai aktiviti di luar norma penunggang motorsikal yang normal itu di katakan ‘mat rempit’, maka wajar saya juga di gelar ‘mat rempit’. Dan saya tidak bangga akan gelaran tersebut. Namun pengalaman dari aktiviti lampau saya itu membuatkan saya lebih kenal dunia ‘mat rempit’ berbanding anda.

Pernahkah anda ‘turun padang’ dan melihat sendiri siapa yang anda gelarkan ‘mat rempit’ atau ‘mat bodoh’ itu. Jika dibaca,di lihat dan didengar di media massa, penampilan ‘mat rempit’ yang ditampilkan adalah remaja yang jahat, memberontak, seks bebas, mempertaruhkan perempuan sebagai hadiah perlumbaan haram, curi motor, bergaduh, alkoholik, salah guna dadah dan pelbagai lagi sifat-sifat negatif dilemparkan. Namun adakah semuanya benar?

Mari kita lihat pula siapa sebenar di sebalik nama mat rempit ini. Simptom mat rempit sebenarnya telah sedia ada sejak dahulu lagi. Dari tahun 70-an, 80-an, 90-an hingga menjangkau ke era sekarang iaitu tahun 2000 ke atas. Perbezaannya adalah cara merempit mengikut perkembangan zaman. Malah kepesatan ekonomi dan kemodenan juga menyumbang kepada gejala rempit. Dengan sebuah motorsikal boleh dibeli dengan membayar deposit semurah RM200 dan penurunan taraf penggunaan motorsikal sebagai alat pengankutan pilihan kedua kerana lambakan kereta yang murah dipasaran juga menjadi faktor penyumbang. Jika dahulu anak-anak muda terpaksa berjalan kaki dan menaiki bas untuk ke mana-mana, namun sekarang mereka bebas dan mudah ke mana-mana samada menunggang motorsikal sendiri ataupun kepunyaan ayah dan abang. Jika dahulu aktiviti mereka hanya di lingkungan satu kilometer daripada rumah, kini aktiviti mereka boleh menjangkau melebihi 20 kilometer. Atas alasan kebosanan, bersiar-siar, pengaruh rakan sebaya dan bermacam alasan, membuatkan pada malam minggu sahaja dianggarkan lebih 500 hingga 1000 mat rempit memenuhi bandaraya Kuala Lumpur. Lebih-lebih lagi gejala rempit sekarang sudah menjadi cara hidup remaja masa kini. Lihat sahaja di laman web Myspace.

Rata-rata remaja bersekolah ataupun awal 20an menjadikan rempit sebagai cara hidup dan ikutan untuk menjadi lebih ‘cool’ tanpa mengetahui implikasi buruk disebaliknya. Kewujudan kumpulan-kumpulan mat rempit baru tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan menyaingi kumpulan mat rempit yang sedia ada. Majoriti semuanya remaja di awal umur 13 tahun hingga menjangkau penghujung 20-an. Semuanya anak muda yang bakal menggantikan generasi sekarang. Jika semuanya ditangkap, disabitkan kesalahan dan dihukum, mereka bakal menjadi banduan dan adakah kita mahu bekas-bekas banduan ini menggantikan tempat kita? Apa pilihan yang kita ada jika bilangan mereka sekarang melebihi jangkaan.

Dalam kita sibuk menuding jari dan menuntut hukuman yang lebih tegas selepas tindakan penguatkuasaan, pernahkah kita terfikir banyak manakah pendidikan yang kita telah beri pada anak-anak kita tentang gejala buruk rempit ini? Matapelajaran apakah yang 80% isi kandungan dasarnya memberi penerapan kepada para pelajar agar menolak gejala rempit. Juga matapelajaran yang mendidik para pelajar tentang tatacara di jalan raya, selain Kempen Keselamatan Jalan Raya yang sering diadakan di Taman Tasik Titiwangsa yang kurang dapat melibatkan para pelajar secara menyeluruh di seluruh negara. Jawapannya tidak ada.

Juga pameran atau kempen yang 100% memberi penekanan tentang gejala rempit ataupun lumba haram. Untuk makluman, saya sebagai Presiden kelab motorsikal, RD CLUB, telah 10 tahun berkempen membanteras lumba haram & rempit, namun tiada satupun risalah dari pada Majlis Keselamatan Jalan Raya berkenaan gejala tersebut menyebabkan saya terpaksa menggunakan risalah Agensi Dadah Kebangsaan dengan kaitan ramai mat rempit menggunakan dadah merbahaya ketika menunggang. Walaupun RD CLUB bergerak tanpa bantuan daripada pihak kerajaan, kami tetap bergerak walau dengan dana kewangan yang amat sedikit. Selain daripada RD CLUB?

Sesekali apabila melihat mat rempit ini melakukan aksi mengangkat tayar hadapan ataupun belakang, berdiri di atas motorsikal ketika motorsikal sedang bergerak, memusingkan roda belakang walaupun motorsikal dalam keadaan statik dan lain-lain lagi, terasa amat merbahaya kerana aksi tersebut dilakukan di jalan awam, yang mana boleh membahayakan orang awam yang lain. Tetapi tahukah kita bahawa di luar negara, aksi tersebut yang memerlukan skil yang tinggi juga menjadi kegilaan ‘mat motor’ di sana. Namun aksi tersebut yang dipanggil aksi ‘stunt’ dialihkan daripada jalan raya awam ke lokasi khas samada kawasan parking atau kawasan lapang jauh dari orang awam untuk dijadikan tontonan penonton. Aktiviti tersebut yang dipantau dan dikawal menjadi satu aktiviti latihan di mana ia juga dapat di komersilkan di pertunjukan-pertunjukan motorsikal samada bertaraf tempatan mahupun dunia. Jadi, pertanyaannya, jika di luar negara, kelakuan atau aktiviti yang kita labelkan haram itu boleh menjadi satu aktiviti yang sihat dan seterusnya diiktiraf dunia, kenapa kita tidak boleh menyediakan lokasi dan aktiviti seumpama itu.

Kerana samada disediakan atau tidak lokasi tersebut, mat rempit itu akan tetap beraksi, dan pilihan yang mereka ada hanyalah jalan raya awam kerana terdapat penonton. Jika disediakan satu prasarana untuk mereka, pilihan yang mereka ada ialah beraksi dengan aman di lokasi yang ditetapkan ataupun beraksi di jalan raya awam dan menghadapi risiko diburu dan dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa secara total. Sudah tentu lama-kelamaan, lokasi yang ditetapkan dan dikawal menjadi pilihan dan ini boleh mengelakkan kebanjiran mereka di jalan-jalan raya awam.

Setelah separuh daripada mat rempit tersebut memilih untuk berada di lokasi tersebut yang terkawal, akan ada ‘mat-mat rempit hardcore’ yang degil dan terus menjadikan jalan raya awam sebagai tempat mereka merempit. Jadi disitulah tindakan penguatkuasaan yang tegas diambil oleh pihak berkuasa. Secara tidak langsung, prasarana seperti yang dicadangkan itu tadi dapat membahagikan antara ‘mat rempit hardcore’ dan ‘mat rempit tidak hardcore’. Dan saya amat bersetuju jika ‘mat rempit hardcore’ itu di gelar ‘mat bodoh’ kerana setelah diberi penerapan pendidikan di sekolah, pameran & ceramah dan aktiviti serta prasarana di sediakan, mereka masih degil hingga dikenakan tindakan penguatkuasaan, memanglah mereka itu bodoh.

Namun begitu, mereka juga anak-anak muda yang hanya melakukan kesalahan trafik. Jika disabitkan kesalahan dan selesai menjalani hukuman, kesedaran dan bimbingan melalui motivasi dan kaunseling perlu diberi. Jika tidak, mereka akan terus terawang-awang dalam mencari hala tuju dan akhirnya terpengaruh ajakan rakan sebaya hingga terjebak semula ke gejala rempit, malah lebih ekstrem dan ganas, lebih-lebih lagi yang telah menjalani hukuman penjara.

Kesimpulannya, jangan kita hanya tahu menghukum dan menuding jari tanpa memberi peluang kepada jalan penyelesaian. Aspek-aspek yang disebutkan tadi amat penting:

1) Pendidikan
2) Kempen & Ceramah
3) Aktiviti & Program
4) Tindakan Penguatkuasaan tegas - pada yang degil
5) Hukuman
6) Motivasi & Kaunseling


Rangkuman untuk aspek-aspek tersebut telah diguna pakai dan berjaya membentuk seorang mat rempit yang telah menjalani hukuman penjara berjaya menjadi seorang guru sekolah yang amat berdedikasi. Jadi bagi saya, apa yang saya bentangkan itu tidak mustahil boleh menyelamatkan banyak jiwa anak-anak muda kita. Mengubat lebih baik daripada membunuh.
Azhanyzam Zakaria

No comments: