Di keheningan pagi di Tasik Titiwangsa, kelihatan sorang pemuda termenung jauh merenung ke arah tasik. Di sisinya berdiri tegap sebuah motorsikal bersinar warnanya dipanah cahaya matahari pagi. Pemuda itu merenung jauh. Di tangannya sekeping kad kecil berwarna krim. Sekejap-kejap dibukanya kad tersebut. Sekejap-kejap dikipasnya kad tersebut ke lehernya. Panas agaknya.
Sesekali matanya melingas ke arah jam tangannya. Mungkin ada janji. Dikeluarkan telefon bimbitnya. Matanya merenung ke arah skrin warna telefon bimbitnya yang tertera gambar seorang gadis manis berbaju oren. Sesekejap terdengar keluhan panjang dari pemuda itu. Direnungkannya ke langit menggamit awan biru bagaikan mengingati sesuatu peristiwa.
Sesekali matanya melingas ke arah jam tangannya. Mungkin ada janji. Dikeluarkan telefon bimbitnya. Matanya merenung ke arah skrin warna telefon bimbitnya yang tertera gambar seorang gadis manis berbaju oren. Sesekejap terdengar keluhan panjang dari pemuda itu. Direnungkannya ke langit menggamit awan biru bagaikan mengingati sesuatu peristiwa.
...........................................................................
Zack sedang menulis seuatu di atas mejanya. Kertas kerja program konvoi yang akan diadakanya teliti disiapkan. Masa bagi menghantar kertas kerja itu tidak lama lagi. Tiba-tiba keasyikannya terganggu dengan bunyi telefon bimbitnya menandakan satu sms telah sampai. Sambil menulis, tangannya mencapai telefon bimbitnya bagi melihat sms yang baru diterimanya. "Erm...sapa pulak ni?" cetus hati Zack bila membaca satu sms dari nombor yang tidak dikenalinya bertanyakan khabar tentang dirinya. Segera jarinya pantas membalas sms itu kembali bertanyakan siapa pengirim sms tersebut. Tidak sampai dua minit menunggu, pertanyaan Zack berbalas. "Erm...Liz?" Di mata Zack terbayang gadis sepejabatnya yang agak tomboy, bertudung tetapi agak manis dan menarik. "Apa mimpi Liz sms aku?" hati Zack bertanya. Memang Zack baik dan suka bergurau dengan gadis-gadis di pejabatnya, tetapi dia tidak sangka yang Liz boleh boleh menghantar sms padanya bertanyakan khabar. Setelah beberapa kali sms bertanyakan soalan, barulah Zack tahu yang Liz mendapat nombor telefonnya daripada kawan lelaki sepejabatnya juga. Dan di akhir sms, terpatri permintaan dari Liz dan janji dari Zack untuk menemankan Liz ke rumah hari terbuka Deepavali kawan Liz.
Tiba di hari yang dijanjikan, Zack sudah menunggu di perkarangan tempat letak kereta di apartment kediaman Liz. Sengaja Zack membawa motorsikal agar lebih senang dan mudah bergerak. Lebih-lebih lagi sesuai dengan jiwa Zack sebagai mat motor. Mata Zack melingas memerhati jika Liz sudah sampai. Dalam hati beliau risau juga kerana dengar khabar Liz sudah mempunyai teman lelaki. "Apa pulak mimpi Liz ni ajak aku temankan dia. Dia dah clash dengan boyfriend dia ke?" Cetus hati Zack bertanya pada diri sendiri. Pedulikanlah. Lagipun bukan aku yang ajak dia keluar Zack cuba menyedapkan hatinya. Dalam Zack tertanya-tanya itu, bahunya dicuit dari belakang. Bila menoleh, mata Zack bagaikan tidak percaya apa yang dia lihat. Dihadapannya seorang gadis berambut lurus hingga ke bahu, berbaju tshirt body putih oren dan berseluar jeans ketat tersenyum di hadapannya. Zack terkejut. "Awek cun mana ni nak ngurat aku? Ke ni Liz?" Hati Zack tertanya-tanya. "Jom, nanti hujan pulak bang. Awan dah gelap ni", sapa Liz selamba. Zack yang masih melopong bagaikan tersedar dari mimpi. Penampilan Liz dihadapannya amat berlainan ketika di pejabat. Dicapainya topi keledar lantas menyarungkan ke kepala Liz. Tanpa berkata apa-apa, ditunggangi motorsikalnya dengan Liz membonceng dan terus menuju ke arah rumah kawan Liz. Di pertengahan jalan, hujan turun dengan lebatnya. Namun Liz tetap menyuruh Zack meneruskan perjalanan walaupun Zack berkali-kali mahu berhenti berteduh risau akan kesihatan Liz. Malah tangan Liz makin erat memeluk pinggang Zack dan Zack makin laju meredah hujan lebat yang turun mencurah-curah. Setelah puas beraya di rumah kawan Liz tadi, walaupun hujan masih turun, memandangkan malam makin lewat, Zack terus menghantar Liz pulang dengan selamat.
Malam itu Zack tidak dapat tidur. Wajah Liz bermain di fikirannya. Tidak disangka Liz yang nampak bagaikan merpati liar amat mesra rupanya. Zack masih ingat betapa dia suka mengusik Liz. Lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini dilihatnya Liz seringkali termenung sendirian. Tapi tidak disangkanya usikan-usikan itu bakal mebawa kepada bibit kemesraan. Malah, pada diri Zack sudah mula timbul perasaan sayang pada Liz. Kemesraan dan gaya Liz yang selamba memikat hatinya. Hari berganti hari. Masa berganti masa. Kemesraan antara Zack dan Liz makin ketara. Zack sering keluar dengan Liz jika ada kelapangan. Bagaikan sepasang kekasih yang dilamun percintaan. Namun Zack tidah tahu bahawa yang terindah hanyalah sementara sahaja.
Petang itu, sebelum habis waktu kerja, Zack ditugaskan memeriksa tekanan air di tangki yang terletak di atas bumbung pejabat. Panas petang tidak langsung memberi apa-apa kesan padanya. Malah, dia sudah biasa dengan kerja-kerja berat dahulu. Jam ditangannya telah menunjukkan jam 5 petang. Setelah habis tahap tekanan air diperiksa, Zack beralih ke tepi bumbung untuk berehat sambil menikmati pandangan di bawah. Dari atas bumbung pejabatnya memang boleh dilihat pemandangan Dataran Merdeka dan bangunan sekitarnya. Dalam matanya meneroka setiap sudut, terpandang kelibat seseorang yang amat dikenalinya. "Liz", detik hatinya. Kelihatan Liz menuju ke arah bangunan sebelah di mana seorang pemuda sedang menunggu di sisi motorsikalnya. Faizal hati Zack berkata lagi. Zack hanya merenung dengan pandangan mata yang hampa sambil menarik nafas panjang. Betul seperti yang Wan katakan. Liz telah kembali kepada teman lelakinya.
Seminggu yang lepas;
"Liz, Liz jangan harapkan diri abang seperti yang Liz kehendaki. Kalau ikutkan diri abang, jangkaan abang untuk berkahwinpun mungkin dua tahun lagi. Itu had yang abang tetapkan bagi diri abang", kata Zack dengan rasa terpaksa apabila diajukan pertanyaan oleh Liz tentang hubungan mereka. Sebenarnya Zack cuba membuang harapan Liz padanya dengan cara yang tidak sedar. Sengaja dia berbuat begitu setelah dia tahu bahawa hubungan Liz dan teman lelakinya masih belum putus lagi. Pantang bagi dirinya merampas hak orang lain. Terlanjur dalam genggamannya, harus dipulangkan semula. Namun tidak terdaya baginya untuk menerangkan itu pada Liz secara berterus terang. Lebih-lebih lagi dengan keadaan Liz yang berjujuran air mata. Terusik hatinya melihat air mata seorang perempuan. Tak sanggup dia melukai hati insan yang amat disayanginya. Tangan Liz digenggam erat sambil sebelah tangannya lagi dengan lembut mengusap pipi Liz sambil menyapu air mata. Ditariknya Liz ke dakapan dan memeluk tubuh Liz erat sambil bibirnya mencium dahi Liz. "Maafkan abang sayang", bisik hati Zack. Walaupun zahirnya dia mahu Liz kembali ke pangkuan teman lelakinya, tetapi hakikatnya hatinya pedih. Pedih melihat insan yang disayanginya terpaksa dilepaskan atas dasar prinsip dirinya sendiri.
Pagi-pagi lagi Zack telah bangun. Hari ini Zack ditugaskan membantu membuat persiapan aktiviti di pejabat cawangan. Hati Zack gundah gulana apabila mendapat tahu bahawa Liz juga ditugaskan di sana. Bagi Zack kalau boleh dia tidak mahu berada berdekatan dengan Liz, walaupun hatinya meronta-ronta untuk bersama Liz. Ketika aktiviti berlangsung, Zack cuba menjauhkan diri dari Liz. Selesai sahaja aktiviti, Zack ke tingkat dua kerana banyak tugas yang perlu diselesaikan. Kakitangan yang lain pula ramai yang telah pulang dan mana yang tinggal berada di tingkat bawah. Zack membuka pintu dan terus masuk ke pejabat di tingkat dua itu. Tanpa disangka Liz juga berada disitu sedang menyiapkan saki baki tugas beliau. Untuk melangkah pergi bagi Zack tidak wajar. Dia cuba berbuat seperti biasa. Dilihat air muka Liz juga berubah. Mungkin terkejut dengan kehadirannya yang tiba-tiba. Zack cuba memecahkan kesepian dengan menegur Liz dan dijawab dengan baik oleh Liz. Mata bertentang mata. Zack merapati dan memegang tangan Liz. "Maafkan abang sayang atas apa yang abang katakan pada Liz malam itu. Abang cuba jauhkan diri dari Liz, tapi abang tak berdaya." Liz hanya diam membisu. Zack perlahan-lahan menarik Liz dan memeluk serta mencium pipi Liz. Dia akur. Walau bagaimana cara dia cuba menjauhi diri dari Liz, dia gagal. Dan hubungan mereka kembali terjalin, walaupun penuh rahsia.
Malam itu Zack bersama-sama keluarganya makan malam di sebuah restoran di Bandar Tasik Permaisuri. Hatinya gembira bersama-sama keluraganya menjelang Hari Raya Haji yang bakal menjelma tiga hari lagi. Lebih-lebih lagi baru empat hari lepas Zack menyambut hari jadi Liz. Pemberian hadiah teddy bear dan kek mengembirakan Liz. Malah sempat juga Liz terlena sekejap dalam pelukan Zack. Imbasan waktu bahagia itu bagaikan memberi sinar baru pada Zack. Sedang Zack menghadapi juadah, telefon bimbitnya berbunyi. Panggilan dari Liz. Segera ditinggalkan juadahnya dan menuju ke taman restoran tersebut. "Abang.... saya minta maaf. Kita kena putuskan hubungan kita ni. Saya dapat rasakan yang teman lelaki saya dapat tahu tentang hubungan kita", suara Liz dalam kerisauan. "Liz...jangan panik. Kalau iya pun, apa salahnya sayang bincang dengan abang dulu. Jangan tergesa-gesa membuat keputusan melalui telefon ni" Zack cuba menenangkan Liz. "Tak boleh abang...saya risau ni. Kita tak boleh berjumpa lagi selepas ini", Liz bagaikan merayu. "Liz.....dua hari lagi nak hari raya. Boleh tak sayang tunggu selepas hari raya? Kita berbincang dan sekurang-kurangnya kalau sayang nak ambil apa-apa keputusan juga, selepas hari raya ni. Jangan buat abang macam ni", Zack meminta. "Tak boleh bang. Kita kena putuskan hubungan ini juga". Liz masih dengan keputusannya dan terus meletakkan telefon. Zack terdiam. Pedih hatinya. Termenung dia seketika merenung langit. Dia kembali ke meja makan. Juadah yang belum dihabiskan tidak lalu dimakan. Hatinya kecewa Liz sanggup memutuskan hubungan mereka hanya melalui telefon sahaja.
Selepas dari detik itu, Zack langsung tidak dapat mendekati Liz. Lebih-lebih lagi Liz cuba menjauhi dirinya, hinggalah pada satu hari Zack mendapat berita yang Liz telah bertunang dengan teman lelakinya. Hati Zack remuk. Hujung minggu hari pertunangan Liz dihabiskan dengan menunggang motorsikalnya dari Kuala Lumpur hingga ke Kedah mencari ketenangan. Tiga bulan selepas itu, tersisip sekeping kad berwarna krim berbau wangi di atas meja Zack. Perlahan-lahan dibuka. Sudah diduga. Kad jemputan perkahwinan Liz
.............................................................................
Seekor ikan yang melompat menangkap serangga menyedarkan Zack dari lamunan. Jam sudah menunjukkan pukul 12 tengahari. Matahari sudah mula tegak di atas kepala. Zack bangun, menyapu punggungnya dan terus ke arah motorsikalnya. Perlahan-lahan motorsikal Zack meninggalkan Taman Tasik Titiwangsa menuju ke Lebuhraya Utara Selatan. Walaupun perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bangi tidak jauh, masa perjalanan bagi Zack amat lama walaupun jarum meter kelajuan motorsikal Zack mencecah ke angka 140 kilometer sejam. Namun Zack masih tegap mengendalikan motorsikalnya. Tiba di rumah Liz, keadaan meriah dengan tetamu mula membanjiri majlis perkahwinan itu. Zack segera meletakkan motorsikalnya di bawah pokok berhampiran padang permainan tidak jauh dari rumah Liz. Perlahan-lahan Zack melangkahkan kaki. Sambil berjalan, mata Zack terarah ke arah khemah yang bertirai oren yang menjadi pilihan Liz sejak dulu lagi. "Abang, kalaulah kita kahwin nanti, Liz nak tirai khemah dan pelamin kita warna oren tau" Kata-kata Liz dahulu menusuk ke telinga Zack. Tangan Zack menggenggam erat hadiah yang dibawanya. Kelihatan ayah Liz sedang sibuk menyambut tetamu. Tangan Zack dihulur bersalaman sambil ayah Liz mengambil hadiah daripada Zack. Ucapan tahniah dan terima kasih saling berganti. Zack perlahan-lahan menuju ke meja buffet bagi mengambil makanan. Di udara berkumandang lagu bertajuk Hati Ini Telah Dilukai dendangan Ajai dan Kris Dayanti. Lagu yang menjadi kegemaran Zack dan Liz. Zack cuba menjengok ke arah dalam rumah. Tidak kelihatan kelibat pengantin. "Mungkin aku awal agaknya" Diceduknya sedikit nasi dan lauk. Dalam keadaannya sekarang, tiada apa-apa makanan pun yang boleh melalui tekaknya. Nasi dan lauk ditelannya agar tidak menghampakan tuan rumah. Setelah selesai makan, Zack ke tepi khemah di sudut yang agak terpencil. Dicapainya sebatang rokok Gudang Garam dari dalam beg pinggangnya lantas dinyalakan dan dihisapnya. Zack bukan penghisap rokok tegar, tapi dalam keadaan begini, rokoklah menjadi temannya. Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi kompang dipalu. Pengantin dah sampai. Rupanya tanpa Zack sedar, dia berada di hadapan laluan yang bakal di lalui pengantin. Dalam keadaan tetamu berpusu-pusu untuk melihat pengantin, mata Zack menyorot ke arah seorang gadis ayu berhias cantik yang amat dikenalinya. Bulu romanya meremang. Darahnya bagaikan naik ke kepala. "Liz," bibirnya bersuara perlahan. Dengan iringan kompang, Liz dan Faizal berjalan perlahan-lahan menuju ke arah pelamin. Zack hanya terpaku berdiri memerhatikan Liz. Pandangannya hanya pada Liz sahaja dan objek lain semuanya kosong. Tiba di hadapan Zack, Liz yang tadi matanya hanya memandang ke hadapan melirik ke arah Zack. Terpancar kelainan di wajah Liz bila kedua-dua pasang mata bertentang. Segera Liz memalingkan mukanya dan membelok terus ke pelamin.
Zack menyedut rokok dalam-dalam. Baginya, cukuplah setakat itu. Langkahnya disusun menuju ke arah motorsikalnya sambil matanya masih memandang ke arah Liz di atas pelamin. Liz cuba untuk mengelak dari memandang kembali, tetapi sesekali matanya melirik ke arah Zack yang melangkah pergi. Setelah mengenakan jaket kulit dan topi keledar, Zack terus menunggang motorsikalnya menuju ke arah jalan besar. Sebelum itu, sempat direnungnya ke arah pelamin sekali lagi. "Liz, kau mawar berduri yang terpaksa aku lepaskan". Bisik hati Zack sambil menghidupkan enjin motorsikalnya. Deruman kasar enjin motorsikalnya yang berkuasa 350cc menarik perhatian tetamu yang hadir.
Di lebuhraya, motorsikalnya dirasakan bergerak perlahan, walaupun jarum meter telah menunjukkan ke angka 200 km/j. Mata Zack tajam merenung ke arah jalan raya. Fikirannya kosong. Hanya yang berlegar di kepalanya ialah gambaran kenangan ketika bahagia bersama Liz dahulu. Zack menarik nafas panjang. Belum sempat nafas yang ditarik dilepaskan semula, tiba-tiba sebuah kereta di hadapan Zack menukar barisan daripada tengah ke kanan dengan laju dan tanpa memberi isyarat. Tangan dan kaki Zack dengan cepat menekan brek. Brek motorsikal Zack mencengkam kuat menyebabkan tayar motorsikalnya terkunci. Kesan hitam bekas tayar Zack melintang panjang di atas jalan. Tetapi semuanya telah terlambat. Kereta tersebut terus menghimpit sisi motorsikal Zack menyebabkan motorsikal Zack terbabas ke pembahagi jalan. Zack tercampak dan terseret beberapa meter di atas jalan raya. Motorsikalnya berpusing dan meluncur laju ke tepi jalan. Nasib baik beberapa buah kenderaan sempat membrek kecemasan bagi mengelakkan tubuh Zack yang terbaring di tengah jalan. Jaket kulit dan topi keledarnya menghindarkan Zack dari cedera teruk. Hanya lelehan darah merah keluar dari hidung Zack. Mata Zack terpejam rapat sambil bibirnya bergerak-gerak mengucap dua kalimah syahadah. Setelah beberapa ketika, tiba ambulan lalu membawa Zack ke hospital berdekatan. Di hospital, Zack diisytiharkan koma akibat gegaran otak. Beliau terpaksa dimasukkan ke ICU dan disambungkan alat sokongan hidup.
Keluarga, rakan dan taulan mula ramai menziarahi Zack. Namun Zack tetap terbaring kaku. Setelah rakan-rakan Zack pulang, Liz muncul. Keseorangan. Perlahan-lahan kakinya diatur menuju ke katil Zack. Zack tidak berteman kerana ibu Zack pulang ke rumah sebentar. Keadaan Zack bagaikan sedang tidur dengan segala tiub dan wayar di badannya. Liz menyentuh tangan Zack. Perlahan-lahan jari Zack bergerak menyentuh jari Liz. Kelopak mata Zack yang tertutup bergerak-gerak bagaikan tahu Liz ada disisi. Liz menggenggam tangan Zack. Titisan air mata menuruni pipi Liz. Hatinya sebak. Insan yang pernah disayanginya dan dikecewakannya kini terlantar kaku. Tiba-tiba dirasakan tangannya digenggam erat oleh tangan Zack yang sejuk. Namun Zack masih kaku dan tidak sedar. Tanpa disedari, Liz tertidur di sisi katil Zack. Itupun dia terjaga apabila dibangunkan oleh jururawat. Sebelum beredar, puas ditarik tangannya dari tangan Zack yang menggenggam erat tanngannya bagaikan tidak mahu dilepaskan.
Malam itu, Liz tidak dapat tidur mengenangkan Zack. Wajah Zack berlegar-legar di fikirannya. Faizal sudah lama lena. Kenangan bersama-sama Zack dahulu silih berganti dalam mindanya. Setelah puas merenung syiling, akhirnya matanya terpejam.
Dari dalam kabus putih yang tebal, Zack muncul menuju ke arahnya. Mukanya putih bersih. Dengan berjaket kulit dan t-shirt hitam, pakaiannya sama seperti waktu kemalangan. Cuma masih bersih. Tiba di hadapannya, Zack menggenggam erat kedua belah tangannya. Bibir Zack menguntum senyum. "Abang tetap akan sayang Liz sampai bila-bila. Biarpun ketika nyawa abang telah tiada" Kata-kata yang pernah Zack ucapkan padanya dahulu. Liz terpaku tidak bersuara apa-apa. Perlahan-lahan Zack mencium bibir Liz. Terasa sejuk bibir Zack menyentuh bibir Liz dan Liz bagaikan di awang-awangan. Mata Liz merenung tajam ke mata Zack yang tidak berkedip merenungnya. Selamat tinggal sayang Zack berkata sambil tersenyum. Dengan tiba-tiba, sekelip mata, Zack hilang dari pandangan.
"Abang....!" Liz menjerit. Kegelapan bilik menerjah matanya. Rupanya dia bermimpi. Faizal terbangun. Segera dibukanya lampu. Liz berpeluh-peluh dan tercungap-cungap. Terasa dirinya kosong yang amat sangat. Ditangkup mukanya dengan tangan dan menangis hingga tertidur kembali.
Pagi-pagi lagi telefon bimbitnya sudah berbunyi. Liz mengambil cuti rehat hari ini. Mimpi malam tadi mengganggu fikirannnya. Liz terdengar suara Liza dalam tangisan. "Abang Zack dah tak ada. Malam tadi dia meninggal." Liz terdiam. Telefon bimbit yang dipegangnya jatuh dari tangan ke atas karpet. Dalam keadaan terkejut, dia terduduk di atas sofa. Fikirannya kosong. Air mata meniti deras menuruni pipinya. Hanya yang berlegar di fikirannnya ialah gambaran kenangan ketika bahagia bersama Zack dahulu.
Zackbikers
ps: Gambar dan cerita adalah imaginasi penulis semata-mata. Tiada kaitan dengan hidup dan yang mati. Gambar paparan adalah gambar hiasan dan milik peribadi penulis.
No comments:
Post a Comment