Wednesday, December 8, 2010

Kisah Mat Rempit

Jam di tangan aku dah menunjukkan tepat 10.30 malam. Sekitar KL Plaza, Bukit Bintang sunyi dengan pengunjung makin beransur-ansur pulang. Sesekali di hadapanku kelihatan sekumpulan mat motor membuat hingar bingar dan kemudian melakukan pusingan U-turn di hadapan 7-11 dan terus menghilang. “Zam, mana awek-awek ni?” Lamunanku terhenti bila disapa oleh Lan yang selamba menghisap rokok di atas motornya. Lan yang sentiasa menjadi rebutan awek-awek motor kerana wajahnya yang ‘jambu’ baru sebulan menyertai kumpulan mat motorku. Walaupun kadang-kadang perangainya yang playboy tu menyusahkan diriku, tapi aku menyenanginya kerana dia amat hormat akan aku. Setiap kata-kataku tak pernah dibantah.


Sedang aku tersenyum pada Lan, telingaku menangkap deruman ekzos motorsikal menuju ke arahku. Rupanya adikku bersama ahli-ahli kumpulan motorsikalku sudah tiba setelah berlumba di Jalan Tun Razak. Kelihatan masing-masing amat teruja dan tak sabar-sabar untuk bercerita akan kehebatan masing-masing. Adikku, Zahar terus menuju ke arahku sambil memberikan isyarat bertanyakan awek-awek yang aku janjikan. Sebenarnya petang tadi Mira menghubungi aku mengajak aku keluar. Dan dia menjanjikan untuk membawa lima rakannya. Mira merupakan awek yang selalu membonceng motorsikalku. Tiap kali habis kerjanya di pusat karaoke sebagai GRO, sudah tentu dia akan menghubungi aku untuk keluar berjalan-jalan.


Belum sempat aku menjawab pertanyaan Zahar, Lan memanggil aku. “Zam, Mira ngan member-member dia dah sampai” sambil menunjuk ke arah laluan jalan kaki tidak jauh dari kami. Kelihatan lima susuk tubuh gadis dengan pakaian yang seksi dan menggiurkan. Aku sendiri meneguk air liur melihat Mira yang malam itu dengan skirt pendek dan baju body ketat hingga menampakkan segala lekuk2 dan lurah2. Rakan-rakannya yang lain turut berpakaian menjolok mata.

“Hi abang” sapa Mira dengan manja. “Bang, jom gerak bang. Malas la lama kat sini. Takut operasi nanti” . Aku memberi isyarat untuk bergerak. Rakan-rakanku tersenyum apabila mendapat pasangan masing-masing. Dengan pulasan throttle yang sengaja dipusing berulang-ulang kali, ekzos motorku mengeluarkan bunyi yang bingit hingga menarik perhatian mat-mat motor lain yang lepak di situ. Sambil ‘membakar’, kami memecut meninggalkan Bukit Bintang menuju ke Selayang. Sepanjang jalan terutama di Taman Wahyu, kami berlumba sesama sendiri. Malah sempat juga membuat aksi wheelie dengan pembonceng di belakang. Namun aku perasan Lan paling gembira waktu itu, tidak seperti biasa. Hatiku terasa berdebar-debar bagaikan ada yang tidak kena.

Sepanjang perjalanan, tiga roadblock polis kami tempuhi dan semuanya samada kami redah atau berpatah balik dan melalui jalan lain. Tiba di Jalan Parlimen, kami bertembung dengan sekumpulan mat motor lagi. Kami bergabung membentuk kumpulan yang lebih besar dan melayan corner Parlimen yang terkenal di kalangan mat motor di Kuala Lumpur. Setelah lima pusingan, kami mula bergerak menuju ke pusat bandar setelah mendapat maklumat roadblock polis di pusat bandar telah tamat. Ketika itu jam menunjukkan pukul 4 pagi.


Di hadapan Padang Merbuk, Lan yang memboncengkan Zura memecut mendahului sambil melakukan aksi wheelies. Tiba di persimpangan lampu isyarat Bank Negara, aku melihat dari jauh Lan masih tidak memperlahankan motorsikalnya walaupun lampu isyarat merah. Tanpa disangka, sekelip mata muncul sebuah lori tanah dan terus merempuh Lan yang baru sahaja melepasi lampu isyarat tersebut. Bunyi dentuman yang kuat merenggut hati aku. “Lan” hatiku menjerit. Aku dan adik aku segera berhenti dan terus ke tempat kejadian. Keadaan jadi hingar bingar. Kelihatan motorsikal Lan yang remuk dengan Lan terbaring memeluk motorsikalnya. Zura tidak kelihatan. Rupanya selepas dirempuh, motorsikal Lan digelek tayar lori tersebut tanpa sempat Lan melepaskan motorsikalnya. Rakan-rakan yang lain hanya melihat dari jauh. Aku melihat Lan sudah tidak bernyawa lagi. Darah segar bercampur minyak petrol mengeluarkan bau yang hanyir. Adikku segera mencari Zura dan terjumpa jasadnya di tepi pembahagi jalan, juga tidak bernyawa dengan beberapa bahagian badan patah. Aku masih dapat mengawal diriku manakala Mira, Anis, Linda dan Watie menangis teresak-esak mengenangkan nasib Zura.

Setelah polis dan ambulan tiba, mayat Lan dan Zura dibawa ke hospital. Setelah menghantar Mira pulang, aku terus ke Cheras Baru iaitu rumah Lan. Ketika itu, azan Subuh baru kedengaran. Aku memberi salam sambil mengetuk pintu rumah murah itu perlahan-lahan tidak mahu mengganggu jiran lain. Setelah dua minit menunggu, pintu dibuka oleh ibu Lan yang bertelekung. Mungkin baru hendak menunaikan solat Subuh. Dalam keadaan sebak, aku menyampaikan berita sedih itu kepada ibu Lan. Ibu Lan hanya mendiamkan diri sambil tiba-tiba titis demi titis air mata meniti ke pipinya. Aku segera memapah ibu Lan ke kerusi. Adik perempuan Lan yang baru bangun turut membantu. Ayah Lan telah lama meninggal dunia. Ketenangan yang kelihatan di wajah ibu Lan walaupun dalam keadaan yang amat sedih membuatkan aku turut mengalirkan air mata. “Abg Lan tadi dia nak keluar, tapi mak tak bagi. Tapi dia keluar jugak.” Adik Lan memberitahu aku dengan esakan dan air mata. Aku hanya mendiamkan diri sambil memujuk adik Lan.

Selepas itu, aku terpaksa meninggalkan ibu Lan dan adiknya yang dalam esakan dan linangan air mata bagi menguruskan urusan menuntut mayat Lan. Di tanah perkuburan, hanya aku dan adikku sahaja yang hadir. Rakan-rakan yang lain entah ke mana. Hatiku berdetik “Kawan ketawa senang dicari, kawan menangis tiada siap peduli” sambil melepaskan nafas panjang. Sejak kejadian tersebut, aku amat berhati-hati. Terasa serik di hati bila mengenangkan titik hitam itu. Itulah kehidupan mat motor nakal atau sekarang dikenali sebagai mat rempit. Jangan harap pemergian yang terkorban akan dikenang, malah dilupakan sahaja. Rakan-rakan yang lain selepas hari tersebut masih keluar berlumba dan berpoya-poya walaupun kubur rakan mereka masih merah lagi.

Ps: Berdasarkan kisah benar. Nama dan tempat ditukar untuk tidak menyinggung keluarga mangsa. Gambar hanya hiasan semata-mata.

No comments: